Negara dilanda jerebu lagi
“Sekeping penutup muka yang dibuat daripada kertas mahu dijual dengan harga 50 sen sekeping?
“Memang mahal dan tidak munasabah betul,” itulah kata-kata seorang bapa apabila anaknya yang berada di sekolah rendah memberitahunya mengenai penutup muka yang dijual 50 sen sekeping di sebuah kedai.
Menurut bapa itu, biasanya penutup muka jenis kertas itu dijual antara RM7 hingga RM9 untuk satu kotak yang mengandungi 100 keping penutup muka bergantung kepada kualitinya.
Tinjauan di pekan Rawang, Selangor mendapati farmasi runcit melaporkan peningkatan jualan penutup muka surgikal dalam kalangan orang ramai.
Tinjauan di pekan Rawang, Selangor mendapati farmasi runcit melaporkan peningkatan jualan penutup muka surgikal dalam kalangan orang ramai.
Bagaimanapun, mungkin ada pihak yang mahu mengaut keuntungan daripada masalah jerebu yang melanda sekarang ini.
“Kami hampir kehabisan stok. Beberapa hari kebelakangan ini, ramai pelanggan bertanyakan pasal penutup muka.
“Sebelum masalah jerebu bermula, sukar bagi kami nak jual walaupun sekotak penutup muka tetapi kini setakat enam hingga lapan kotak sehari memang tiada masalah,” kata pemilik farmasi di Bandar Country Homes, Rawang yang ingin dikenali sebagai Lee.
Penutup muka
Menurut pakar penjagaan alam sekitar, perkara terbaik perlu dilakukan ketika jerebu melanda adalah dengan berada dalam rumah.
“Tetapi bagi mereka yang perlu berada di luar rumah seperti kanak-kanak sekolah, pekerja pejabat dan buruh binaan serta mereka yang memandu dan menggunakan motosikal, memakai penutup muka adalah perkara yang digalakkan.
“Sekurang-kurangnya penutup muka menghalang debu dan habuk asap daripada memasuki sistem pernafasan mereka yang memakainya,” kata Lee.
Kementerian Kesihatan, baru-baru ini menasihati warga Malaysia terutama warga tua, anak kecil dan mereka yang mempunyai penyakit atau masalah pernafasan seperti lelah (asma) agar mengelak daripada terlalu lama berada di luar rumah.
Peniaga alat penyaman udara juga melaporkan peningkatan dalam jualan alat yang mempunyai pembersih udara kebelakangan ini.
“Pelanggan mahukan penyaman udara yang mempunyai komponen pembersih udara atau ‘ioniser’ kerana ia membantu membersihkan udara yang tidak sihat,” jelas seorang daripada pembekal itu.
Sementara itu, pengamal perubatan, Dr Shuhaimi Jamil berkata, lebih ramai pesakit yang mahu rawatan bagi batuk, masalah pernafasan dan sakit mata dijangka mengunjungi kliniknya.
“Daripada pengalaman saya yang lalu, apabila jerebu melanda, lebih ramai pesakit yang mahukan ubat bagi melegakan batuk, sakit mata dan masalah pernafasan,” katanya.
Apa itu jerebu?
Menurut pensyarah yang juga warga penjagaan alam sekitar, Amin Iskandar, jerebu muncul disebabkan zarah halus di udara.
“Dalam konsentrasi tinggi, zarah ini akan bertaburan serta menyerap cahaya matahari menyebabkan jarak penglihatan menjadi kurang hingga berlakunya seolah-olah alam sekeliling menjadi redup.
“Jerebu bukannya hanya berlaku di kawasan bandar, malah boleh wujud di kawasan pedalaman,” katanya.
Zarah itu datang daripada pelbagai sumber termasuk yang wujud secara semula jadi dan yang ‘antropogenik’ (muncul kerana proses tindakbalas).
“Kebanyakan daripada zarah ini terbit hasil daripada kegiatan yang dilakukan manusia seperti pembakaran terbuka bagi tujuan penanaman, pembukaan tanah hutan, penggunaan kenderaan serta pembakaran bahan api dalam industri,” ujarnya.
Pembentukan jerebu
“Pada satu-satu masa dalam setahun terutama semasa musim Monsun Barat Daya, pergerakan udara secara menegak akan berkurangan.
“Pengurangan berat udara ini tidak merangsang pembentukan awan secara aktif lalu menyebabkan cuaca menjadi kering.
“Terdapat juga beberapa faktor yang memanjangkan musim panas dan terdapatnya banyak pencemaran udara adalah suasana sesuai bagi pembentukan jerebu,” katanya.
Menurutnya, zarah yang muncul di atmosfera akan terperangkap dalam udara yang tidak bergerak menyebabkan kumpulan partikel ini menjadi mendap dan membentuk jerebu.
Bagaimana hilangkan jerebu?
Zarah dalam udara boleh dihilangkan melalui beberapa proses.
Tarikan graviti akan membuat zarah yang lebih berat jatuh ke bumi manakala zarah yang lebih ringan boleh dihilangkan melalui ‘rainout’ atau kondensasi wap air lalu membentuk titisan air sehingga membentuk awan.
Zarah ini juga boleh dihilangkan melalui proses penyatuan dengan titisan hujan semasa berlakunya hujan dan dinamakan ‘washout’.
Satu cara lagi adalah melalui mekanisme ‘turbulence’ iaitu zarah jerebu ditiup kuat ke lapisan lebih tinggi dalam atmosfera.
“Kejadian hujan lebat serta ribut petir adalah lebih berkesan manakala hujan yang sekejap dan tidak lebat kurang cekap dalam menghilangkan jerebu,” terang beliau lagi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment